ABSTRAK
Dakwah mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Dari segi istilah syara’ pula membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah s.w.t .Muhammad al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup. Menurut Ibn Taimiyyah dakwah adalah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah s.w.t dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh para rasul dan mentaati perintah mereka. Tidak sempurna dakwah kiranya tidak ke arah melaksanakan apa yang dikehendaki Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai-Nya, sama ada dari perkataan atau perbuatan zahir.Dakwah merupakan satu kegiatan yang dijalankan oleh segolongan manusia untuk menjalankan dan menyeru manusia kepada mentaati Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Di samping itu menegah manusia daripada melakukan kemungkaran agar kembali ke jalan yang benar.
No comments:
Post a Comment