LATAR BELAKANG USTAZ ABDUL MAJID
Ustaz Abdul Majid dilahirkan pada tanggal 29 Mei 1937 sebelum Malaysia diisytiharkan merdeka dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan namun ayahnya seorang yang berpegang teguh pada agama. Kehidupan yang dilalui tidaklah seperti anak remaja masa kini yang begitu mewah dengan segala-galanya hingga alpa dan leka hanya memikirkan dunia semata-mata. Beliau kini berusia 74 tahun tetapi masih lagi kelihatan sihat dan kuat walaupun menghadapi sedikit masalah kesihatan. Dari usia yang masih kecil, beliau telah diasuh bagaimana cara untuk berdikari. Oleh kerana ayahnya adalah seorang yang berfikiran jauh mengenai masa hadapan anak-anaknya, Haji Che Teh menghantar Ustaz Abdul Majid ke sekolah. Ayah beliau sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan.
Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.
Ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.
Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; ``Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"
Selain itu, ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"
Dengan ilmu jugalah keperibadian yang baik dapat dibentuk dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya.
Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”
Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.